KESIHATAN

Pesakit Mati Lepas 5 Hari Disahkan Negatif COVID-19

Mar 22, 2020
bloody hand

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

Seusai sembuh daripada virus korona baharu (COVID-19), pasti anda berasa gembira.

Mungkin anda teringin melihat dunia luar, rindukan keluarga atau ingin mengunjungi restoran kegemaran anda.

Namun malang bagi seorang lelaki berusia 36 tahun bernama Li Liang yang mati setelah 5 hari diisytiharkan sembuh daripada virus korona baharu.

Baca artikel ini jika anda ingin mengetahui selanjutnya.

Sembuh daripada virus korona namun masih berisiko

Li Liang merupakan pesakit virus korona yang didaftarkan di sebuah hospital yang terletak di Wilayah Hanyang, Wuhan.

Setelah disahkan menghidap jangkitan wabak, dia telah dirawat selama 13 hari sehingga sampel klinikalnya negatif bagi virus korona untuk dua hari berturut-turut.

Li kemudiannya dibenarkan pulang setelah menjalani pemeriksaan kesihatan oleh sekumpulan doktor pakar.

Namun, sebelum diberikan kebebasan sepenuhnya, dia diletakkan bersama dengan pesakit lain yang telah sembuh untuk tujuan kuarantin.

Perkara tersebut merupakan protokol biasa yang dilalui oleh mana-mana pesakit yang sembuh berikutan kita belum cukup memahami kesan jangkitan COVID-19 dalam jangka masa panjang.

Malangnya, pada 2 Mac 2020, Li telah dikejarkan ke hospital berikutan simptom sesak nafas yang dialaminya.

Rawatan kecemasan yang diberikan gagal membuka laluan pernafasan Li dan dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Punca kematian telah dikenal pasti sebagai kegagalan sistem pernafasan disebabkan oleh virus korona baharu.

Ekoran daripada kejadian tersebut, kebanyakan hospital di Wuhan enggan membenarkan pesakit mereka yang telah sembuh untuk pulang.

Ini berikutan kebanyakan pesakit yang telah sembuh disahkan positif virus korona semula.

Ia bagaikan satu putaran roda yang tidak berkesudahan!

Perkara ini bukan sahaja terjadi kepada Li, malah beberapa individu lain.

Encik Wang (bukan nama sebenar) telah disahkan positif semula, 18 hari setelah menamatkan rawatan di Hospital Zhejiang.

Dia telah disahkan sembuh sepenuhnya sebelum dibenarkan pulang untuk melalui fasa kuarantin 14 hari.

Persoalan baru timbul, adakah pesakit yang sembuh sebenarnya masih mempunyai virus tersebut walaupun ujian makmal menunjukkan keputusan negatif?

Sudah sembuh namun masih positif COVID-19

corona virus

Mereka yang telah sembuh daripada jangkitan virus seharusnya dipantau dari semasa ke semasa.

Walaupun ada kebimbangan berkenaan dengan risiko jangkitan selepas seseorang itu sembuh, namun tujuan utamanya adalah untuk memastikan mereka yang pernah dijangkiti tidak mengalami apa-apa komplikasi daripada jangkitan berkenaan.

Apabila ditanya mengenai risiko penularan jangkitan bagi mereka yang telah sembuh, kajian yang dijalankan di Jerman telah menunjukkan risikonya sangat rendah.

Secara amnya, mereka yang mengalami jangkitan ringan tidak akan menyebarkannya kepada orang lain 10 hari selepas simptom bermula.

Pada fasa awal jangkitan, proses peluruhan virus (virus shedding) kebanyakannya berlaku di tekak.

Jumlah virus yang diluruhkan akan beransur-ansur turun selepas 5 hari jangkitan berlaku. Namun perkara ini hanya berlaku pada mereka yang mengalami simptom ringan.

Bagi individu yang menunjukkan simptom jangkitan paru-paru (pneumonia), kadar luruhan virus adalah lebih tinggi.

Mereka akan mengalami proses peluruhan virus sehingga hari ke-10. Pada saat itu, proses tersebut akan turun perlahan-lahan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mereka yang telah sembuh daripada virus korona baharu masih boleh mendapat keputusan positif melalu pengambilan sampel tekak dan air liur.

Ada juga kes di mana individu mendapat keputusan positif selepas berminggu-minggu sembuh daripada jangkitan virus korona baharu.

Kajian yang dijalankan di Jerman itu menggunakan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR).

Ujian tersebut mengesan maklumat asid ribonukleik (RNA) bagi mengetahui sama ada pesakit masih mengeluarkan virus.

Walau bagaimanapun, ujian tersebut tidak berupaya untuk menentukan sama ada individu itu berjangkit ataupun tidak.

Benar ke virus korona boleh disebarkan melalui najis?

corona virus

Penulis pernah menulis artikel berkenaan dengan risiko virus korona baharu untuk tersebar melalui cirit-birit suatu ketika dahulu.

Mereka yang dijangkiti oleh wabak tersebut kebanyakannya menunjukkan simptom gastrousus sebelum simptom pernafasan.

Keadaan ini sama dengan virus sindrom pernafasan akut teruk (SARS-CoV) yang dahulunya turut menular melalui najis.

Laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa China dengan kerjasama WHO telah menunjukkan serpihan virus boleh didapati dalam sampel najis namun ia tidak boleh menular seperti virus yang terdapat pada tekak.

Pengkaji Jerman telah menemui jumlah serpihan virus yang tinggi dalam 13 sampel najis daripada 4 orang pesakit.

Namun, tiada satu sampel pun yang berjaya dikulturkan. Setakat ini, keempat-empat pesakit mengalami simptom ringan maka perkara ini mungkin tidak boleh disamakan dengan mereka yang mengalami simptom teruk.

Berbanding dengan najis, proses luruhan virus daripada tekak lebih memberikan risiko jangkitan.

Saintis juga mengakui bahawa proses luruhan bagi virus korona baharu adalah seribu kali lebih tinggi berbanding dengan virus SARS.

Fakta ini menerangkan kenapa virus korona baharu lebih agresif berbanding dengan virus korona yang lain.

Konklusi

Mereka yang telah sembuh perlu diperiksa dengan teliti.

WHO telah mengesahkan bahawa golongan tersebut boleh mendapat keputusan positif COVID-19 daripada ujian makmal. Namun itu tidak bermakna mereka boleh berjangkit.

Kajian di Jerman telah mengesahkan bahawa jangkitan ini mempunyai risiko untuk tersebar pada 10 hari pertama bagi mereka yang mengalami simptom ringan.

Mereka yang disahkan mendapat komplikasi pneumonia memerlukan masa yang lebih lama.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

Article by Hello Doktor

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply