KESIHATAN

KKM Isytihar Khidmat Pemeriksaan Virus Corona Di Rumah

Mar 22, 2020

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

Ramai dalam kalangan kita yang lebih suka untuk mengurung diri di dalam bilik ketika sedang sakit daripada berjumpa dengan doktor. Perkara ini sering berlaku terutamanya jika simptom yang dialami cuma selesema yang kebiasaannya hilang dengan sendirinya. Siapa mahu pergi ke klinik untuk pemeriksaan virus corona, kan?

Namun begitu, melihat kepada angka jangkitan virus yang semakin meningkat, kerajaan telah menggalakkan mereka yang mengalami simptom jangkitan pernafasan untuk hadir ke klinik bagi pemeriksaan lanjut.

Stigma dan risiko untuk dikuarantin menyebabkan langkah tersebut kadang kala tidak mendapat sambutan. Ini bukan sahaja boleh mendatangkan kemudaratan kepada individu terbabit malah ahli keluarga atau sahabat handai yang tinggal serumah.

Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan khidmat pemeriksaan virus corona di rumah masing-masing. Perkara ini dilihat sebagai satu alternatif berkesan bagi membendung penularan wabak.

Baca artikel ini untuk mengetahui selanjutnya.

Privasi terjaga dan tiada stigma daripada orang ramai

pemeriksaan virus corona

Penulis akui, kita tidak seharusnya tewas kepada stigma, namun bukan semua orang mampu mempunyai pemikiran sedemikian.

Hakikatnya, mereka yang dijangkiti bukan sahaja takut akan kesan yang boleh disebabkan oleh virus malah kesannya terhadap hubungan sosial mereka.

Lihat sahaja kepada kes 26 yang dikatakan merupakan sumber kepada banyak kes pada gelombang kedua.

Sampaikan beliau terpaksa membuat kenyataan rasmi bagi menerangkan perkara sebenar. Hakikatnya, kesihatan sosial sangat penting bagi menyeimbangi kualiti hidup sihat.

Melihat kepada keperluan untuk memberikan privasi dan mengelakkan stigma, KKM telah bekerjasama dengan 11 syarikat swasta bagi merealisasikan perkhidmatan pemeriksaan virus corona di rumah.

Antara syarikat yang terlibat adalah:

  1. Bookdoc
  2. DoctorOnCall
  3. Pantai Premier Pathology Sdn Bhd
  4. Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ)
  5. Qualitas Medical Group Sdn Bhd
  6. Gleneagles Kuala Lumpur
  7. Twin Tower Medical Centre KLCC
  8. Pantai Hospital Kuala Lumpur
  9. Pantai Hospital Cheras
  10. Pantai Hospital Klang
  11. Pantai Hospital Ayer Keroh

Sebelum ini, pemeriksaan virus corona di rumah dilakukan bagi pesakit yang disyaki menghidap jangkitan virus korona baharu. Walau bagaimanapun, terdapat di antara mereka yang bimbang walaupun tidak memenuhi kriteria bagi pesakit yang disyaki dijangkiti wabak.

Bagi membolehkan akses pemeriksaan virus corona diadakan dengan lebih meluas, langkah ini telah dilaksanakan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pemeriksaan tersebut akan dilakukan oleh ahli paramedik perubatan terlatih. Sampel yang diambil akan dihantar ke makmal swasta untuk dianalisis.

Pemeriksaan virus corona di rumah melalui projek baharu Bill Gates

                                                                      Gambar oleh WIkipedia (CC BY-SA 3.0)

Malaysia bukan satu-satunya negara yang menyedari kepentingan mewujudkan sistem pemeriksaan virus corona di rumah.

Di Seattle, Amerika Syarikat, mereka yang mahu membuat pemeriksaan kelak boleh menggunakan alat ujian yang bakal dicipta melalui projek yang ditaja oleh Yayasan Gates.

Pemeriksaan kesihatan merupakan satu kepentingan yang perlu dititikberatkan bagi memastikan kadar penularan virus berlaku dengan perlahan dan akhirnya berhenti.

Seperti KKM, Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) hanya membuat ujian virus corona terhadap mereka yang mempunyai faktor risiko.

Oleh sebab penularan virus berlaku pada kadar yang sangat cepat, hospital mengalami kekurangan peralatan ujian sedia ada. Jadi bagaimana alat ujian virus corona di rumah dapat membantu menghindarkan penularan wabak?

Selain daripada kelebihan berkaitan privasi dan stigma, mereka yang membuat pemeriksaan virus corona di rumah juga mempunyai risiko yang sangat rendah untuk menyebarkannya kepada individu lain.

Kebanyakan orang muda mengalami simptom ringan. Jika mereka bergerak dari rumah ke hospital, mereka berisiko untuk menyebarkan virus tersebut kepada orang awam atau pekerja kesihatan yang memeriksa mereka.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk mereka yang mengalami simptom ringan tahu akan diagnosis mereka?

Jawapannya adalah pemeriksaan di rumah melalui kit yang bakal dicipta oleh Yayasan Gates atau pemeriksaan oleh ahli paramedik seperti apa yang dilakukan oleh KKM.

Mereka yang ingin membuat pemeriksaan akan ditanya soalan berkenaan dengan simptom yang dialami yang boleh diakses secara atas talian.

Jika mereka disyaki mempunyai jangkitan, kit ujian akan dihantar dalam masa 2 jam. Pesakit akan melakukan sendiri prosedur pengambilan sampel pada hidung mereka dan ia akan dihantar ke makmal di Universiti Washington untuk tujuan analisis.

Setakat ini jumlah kit ujian terhad kepada 400 sehari namun ia dijangka akan meningkat kelak kepada beberapa ribu sehari.

Bila saya perlu hadir ke hospital untuk pemeriksaan virus corona?

Oleh sebab projek yang dijalankan oleh KKM ini masih berada pada fasa awal, kita boleh jangkakan kawasan liputannya tidaklah meluas mana.

Ini bermakna mereka yang tinggal di kawasan pedalaman perlu menghadirkan diri ke hospital untuk tujuan pemeriksaan.

Namun begitu, bilakah masa yang sesuai untuk anda berbuat demikian?

Oleh sebab tiada protokol rawatan khusus yang boleh diberikan bagi mempercepatkan kesembuhan terhadap jangkitan virus korona, bagi mereka yang mengalami simptom ringan, isolasi di rumah merupakan satu langkah relevan.

Walau bagaimanapun, jika anda tergolong dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti orang tua, ibu mengandung atau mempunyai satu atau lebih penyakit kronik, anda perlu hadir ke hospital untuk tujuan pemantauan.

Jika pemeriksaan virus corona dibuat di rumah sekalipun, sekiranya positif, anda masih perlu dipantau di fasiliti kesihatan.

Ini berikutan terdapat risiko kematian yang tinggi dalam kalangan mereka yang tergolong dalam kumpulan yang dinyatakan.

Namun begitu, jika anda tidak mempunyai risiko tersebut dan masih mahu pergi ke klinik atau hospital, tiada masalah. Anda hanya perlu mengambil langkah pencegahan seperti:

  1. Pakai topeng muka. 
  2. Amalkan etika batuk/bersin yang betul.
  3. Jangan pegang apa-apa objek di sekeliling jika tiada keperluan.
  4. Elakkan daripada menggunakan kenderaan awam sekiranya ada simptom.

Konklusi

Kemajuan teknologi memudahkan urusan manusia khususnya pemeriksaan virus corona dalam konteks perbincangan artikel ini. Jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan virus corona di rumah, pergi ke laman sesawang syarikat swasta terlibat seperti DoctorOnCall.

Pemeriksaan awal dapat membendung jangkitan daripada terus menular. Jika anda berisiko tinggi segeralah pergi ke klinik atau hospital.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

Article by Hello Doktor

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply